Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 SEPTEMBER 2021 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan menaiktaraf rumah rakit di sepanjang pesisir Sungai Kuantan bagi menarik kehadiran pelancong.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata ini berikutan rumah rakit yang ada di ini berpotensi besar untuk dikomersialkan.

“Kita melihat kawasan di sini berpotensi untuk menarik pengunjung yang sukakan aktiviti yang tenang dan jauh dari kesibukan.
“Kawasan ini memang popular untuk memancing udang, udang galah, ikan dan trek ini boleh juga menjadi trek basikal dan motorcross.
“Kawasan ini banyak lagi orang tak tahu tapi dia ada komuniti yang berminat. Jadi saya ingat kita bagi peluang kepada mereka anak-anak muda ini untuk bersama membangunkan kawasan ini,” katanya ketika membuat tinjauan di sekitar Sungai Rangin dan Sungai Isap.
Beliau berkata pihaknya juga telah meminta pengusaha rumah rakit yang sedia ada ini untuk melihat model yang sesuai untuk diketengahkan.
“…saya dah minta mereka lihat dari segi model mana yang sesuai, dan saya dah proposed (usulkan) macam di Rompin.
“Di mana di Rompin ada model-model rumah rakit yang menarik yang boleh kita explore (teroka) dan ketengahkan lagi bagi menarik minat lebih ramai peminat aktiviti ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya bukan sahaja menumpukan pembangunan dan aktiviti di persisir Sungai Kuantan sahaja malah ia bersifat menyeluruh melibatkan seluruh daerah Kuantan.
“Kita nak elokkan semua tempat kita secara berperingkat. Kita tahu kita ada banyak tempat menarik yang dapat diketengahkan, jadi kita nak cantikkan supaya ia dapat menarik orang datang ke tempat kita.
“Dan ini secara tidak langsung juga akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk sekitar dan pengusaha,” katanya. -PAHANGMEDIA