KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima hadiah gabungan kiub rubik berpotretkan wajah baginda.
Gabungan kiub rubik berpotretkan wajah KDYMM Pemangku Raja Pahang itu adalah hasil seni seorang anak Pahang iaitu Saudara Zabli Ab Hadi dari Rompin.
Gabungan kiub rubik berkenaan dihadiahkan kepada baginda melalui Majlis Belia Negeri Pahang dalam satu majlis mengadap Jawatankuasa Majlis Belia Negeri Pahang di Pekan.
Turut hadir, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBPN), Encik Mohd Izzat Afifi Haji Abd Hamid.
Saudara Zabli sebelum ini tular di media sosial kerana menghasilkan seni gabungan rubrik potret pasangan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raisudin.
Bekerja sebagai seorang Pengurus Pusat Internet Komuniti Rompin bukanlah satu penghalang untuk beliau berkarya sehingga berjaya menghasilkan ciptaan yang hebat dan beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Rompin. – PAHANGMEDIA