Razali Abdul, 56, di hadapan Rumah Rakyat Pahang yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan Pahang di Kampung Lepar Baru di Pekan.

HIDUP JAUH LEBIH SELESA DI RUMAH RAKYAT PAHANG

Oleh: Fairus Mohd

PEKAN, 10 SEPTEMBER 2021: Jika dahulu hanya mampu sediakan rumah kayu di tepi sawah, tetapi kini kehidupan bersama isteri dan anak-anak lebih selesa di Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diterima.

Bagi Razali Abdul, 56, yang juga seorang pesawah dari Kampung Lepar Baru di sini nyata amat bersyukur dengan rezeki yang diterima dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang yang peka dengan nasib hidupnya dan keluarga.

“Terima kasih Menteri Besar Pahang, YB kawasan (ADN Peramu Jaya) serta semua lah yang terlibat sudi membantu orang-orang yang tak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya gembira kerana isteri dan anak-anak dapat hidup selesa di rumah baru ini dan sudah pasti hidup sekarang terasa jauh lebih selesa. Terima kasih kerana membantu di saat hidup dilalui penuh kesukaran,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Razali yang memiliki sepuluh orang anak berusia 25 hingga dua tahun turut memuji usaha kerajaan negeri yang mahu menambah peruntukan bagi pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP).

“Saya rasa memang bagus kalau dapat teruskan bantuan-bantuan seumpama ini, tambahan pada masa ini ramai yang tidak mampu berkemampuan.

“Bantuan sebegini memang amat diperlukan malah kehidupan penuh sukar yang mendapat perhatian Kerajaan Negeri telah terbukti berjaya menyediakan kehidupan yang selesa kepada kami,” katanya.

Menurutnya, kemampuan Kerajaan Negeri menyediakan rumah secara percuma kepada rakyat yang memerlukan membuktikan bahawa ekonomi negeri ini berada dalam keadaan baik dan stabil.

“Ini juga adalah hasil usaha cemerlang Kerajaan Negeri di bawah pimpinan MB Pahang yang sentiasa berusaha membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif yang diwujudkan.

“Kita perlu bersyukur kerana nasib terus terbela malah dapat hidup dengan baik walaupun dalam menghadapi cabaran COVID-19,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download