Para sukarelawan membantu membungkus 1,150 ayam segar sebelum diagihkan kepada penduduk terlibat PKPD di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

572 KELUARGA FELDA KOTA GELANGGI 2 TERIMA SUMBANGAN AYAM

Oleh : Fansurina Abdullah

JERANTUT, 5 SEPTEMBER 2021 : Sebanyak 572 keluarga termasuklah 445 keluarga peneroka dan 127 kakitangan Felda, guru dan anak peneroka yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Kota Gelanggi 2 menerima sumbangan 1,150 ekor ayam segar sumbangan Ahli Parlimen Jerantut, YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris.

YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh beliau kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Kota Gelanggi 2 sebelum diagihkan sebanyak dua ekor bagi setiap keluarga.

YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan berkata, beliau bersimpati terhadap penduduk yang tidak dibenarkan keluar bagi mendapatkan bekalan makanan kerana terikat dengan penguatkuasaan PKPD di kawasan terbabit.

“Saya turut terkesan dengan kesukaran penduduk di sini yang tidak dapat keluar membeli bahan dapur ketika masih dalam penguatkuasaan PKPD selama dua minggu mulai 25 Ogos lalu hingga 7 September ini.

“Bekalan ayam ini diperoleh daripada Pasaraya Darulmakmur bandar Jerantut untuk keperluan penduduk di sini termasuk mereka yang memerlukan dalam tempoh PKPD ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Felda Kota Gelanggi 2, di Jerantut.

Sebelum ini, Pejabat Parlimen Jerantut pernah menyumbangkan sejumlah 1,300 ekor ikan patin kepada penggiat dan pengusaha pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan yang juga terlibat PKPD pada 8 hingga 21 Ogos lepas.

Beliau meminta agar penduduk dapat bersabar dan terus mematuhi arahan pihak berkuasa serta prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu sehingga suasana pulih semula sebelum PKPD ditamatkan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download