YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa ribu di Panching hari ini.

PAHANG DIJANGKA BERALIH KE FASA TIGA PPN TIGA MINGGU LAGI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2021 : Pahang menjangkakan akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya tiga minggu lagi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagaimana pun tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Negeri Pahang sekarang ini berada di Fasa Kedua PPN dan kita ini di ambang peralihan kepada Fasa Ketiga. Walau bagaimana pun, ini tertakluk kepada kelulusan MKN.

“Jadi saya percaya kadar mereka yang terkena jangkitan COVID-19 ini berada di ICU, kalau kita boleh kurangkan kepada 50 peratus insyaAllah kita akan beralih kepada Fasa Tiga PPN.

“Saya ingat paling-paling lambat pun dua ke tiga minggu lagilah dan tidak mustahil minggu depan kita boleh beralih ke Fasa Ketiga sekiranya mereka yang berada di ICU itu berkurang daripada 50 peratus sebab dua lagi syarat itu telah pun dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas akibat ribut pada Program Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Bencana Ribut Kepada Penduduk di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Panching Utara, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I , YB. Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB. Encik Mohd Tarmizi Yahaya; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Beliau berkata, daripada tiga syarat yang ditetapkan oleh pihak MKN, Pahang telah pun memenuhi dua daripadanya .

“Syarat untuk pergi ke Fasa Ketiga, yang pertama sekali ialah kadar mereka yang telah mendapat vaksin dua dos mestilah melebihi 50 peratus dan kita di Pahang telah pun melebihi 50 peratus. Maknanya satu kita dah layak.

“Yang kedua ialah kadar kebolehjangkitan mestilah kurang daripada yang ditetapkan dan saya difahamkan yang itu pun kadar kebolehjangkitan kita pun rendah.

“Yang ketiga ialah kadar mereka yang berada di ICU tidak melebihi daripada 50 peratus. Yang ini sahaja sedikit, kita lebih daripada 50 peratus,” katanya.

Setakat ini hanya tiga negeri berada di dalam Fasa Tiga PPN iaitu Perlis, Negeri Sembilan, dan Sarawak manakala Pahang bersama enam lagi negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Sabah berada di Fasa Dua.

Manakala lima negeri direkodkan berada di Fasa Satu PPN iaitu Kedah, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, serta hanya satu negeri berada di Fasa Empat iaitu Labuan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download