Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 02 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang akan mengkaji punca berlakunya kemalangan di Jalan Pekan – Batu Balik di sini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan berkenan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat berkaitan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kesihatan Daerah.

“Kita juga telah melihat lebih dekat lagi lokasi kemalangan dan mendapatkan maklumat berkaitan dan akan mendapatkan maklumat daripada JKR mengenai projek yang sedang dijalankan ini serta mengumpulkan maklumat mengenai statistik kemalangan di kawasan berkaitan.
“Hasilnya akan kita bentangkan dan bincangkan bagi mencari langkah-langkah untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika meninjau kawasan kemalangan di KM 21 Jalan Pekan – Batu Balik dan ke rumah mangsa kemalangan maut di FELDA Chini Timur 1.

Menurut beliau, pihaknya menunggu hasil kajian sebelum dapat membuat sebarang keputusan berkaitan yang akan dilakukan.
“Buat masa sekarang kita akan menunggu hasil kajian dan perkara itu kita akan lihat sekiranya ada trend peningkatan yang jelas akibat kerja-kerja pembinaan jalan tersebut,” katanya.
Sementara itu, menurut balu Allahyarham Husin Abd Hamid yang meninggal dunia akibat kemalangan ambulans yang terbabas di kawasan berkenaan 31 Ogos lepas, Puan Masri Ahmad berkata dia berterima kasih diatas keperihatinan Kerajaan Pahang.

“Terima kasih Kerajaan Negeri datang, dan bagi sumbangan pada keluarga saya. Sedih memang sedih kerana kehilangan suami, tapi dah sampai masa dia Allah ambil, saya reda,” katanya yang mempunyai lapan anak.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa maut selepas ambulans yang dinaiki untuk pulang ke rumah di Felda Chini Timur 1 setelah tamat tempoh kuarantin terbabas ke dalam longkang dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. – PAHANGMEDIA