Oleh : Shazli sufi che unik
KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2021 : Pengoperasian Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan Barat merupakan merupakan hasil buah fikiran daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Tuanku merasakan PAID Kuantan ini perlu dibesarkan pentadbirannya melihat kepada kepadatan penduduk yang semakin bertambah.
“Ini juga menimbukan kesukaran kepada penduduk di Daerah Kuantan untuk mendapatkan khidmat berkaitan urusan keagamaan, justeru Kerajaan Pahang membuat keputusan untuk mewujudkan PAID Kuantan Barat ini ,” katanya dalam sidang media meninjau pengoperasian PAID Kuantan Barat di sini hari ini.
Skop perkhidmatan yang disediakan pula adalah berkaitan pengurusan nikah, cerai dan rujuk, pengurusan masjid, surau dan tanah perkuburan, pengurusan kelas al-Quran, KAFA dan penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah.
Beliau berkata, tarikh beroperasi PAID Kuantan Barat adalah pada 1 September 2021 melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang ke 17/2021.
“Tuan Haji Badaruddin Ahmad Bustami sebagai Al Fadhil Qadhi Daerah dengan Jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam gred S44 dibantu oleh tiga orang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam gred S29, seorang Pembantu Hal Ehwal Islam gred S22 dan gred 19 serta seorang pemandu kenderaan gred H11 dan pembantu operasi gred N11,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu beliau berkata, anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak COVID-19 di Pahang tidak akan dibiarkan dan akan mendapat perhatian Kerajaan.
“Setakat ini seramai 75 orang anak yatim piatu tersebut dalam perancangan untuk diberikan pendidikan melalui kerjasama dengan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – PAHANGMEDIA