KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2021: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang dengan kerjasama syarikat Pahang Go Sdn Bhd, berjaya membangunkan modul tempahan carian hakmilik tanah melalui aplikasi PahangGo.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkhidmatan yang memberikan manfaat kepada orang ramai itu bermula hari ini.
Beliau berkata, menerusinya yang merupakan antara pertama seumpamanya dalam sistem pentadbiran tanah di negara ini membolehkan orang ramai membeli carian rasmi atau persendirian bagi hakmilik tanah secara atas talian menerusi aplikasi PahangGo.
“Setakat ini bagaimanapun, perkhidmatan ini masih terhad kepada pembelian carian rasmi atau persendirian melibatkan hakmilik PTG yang akan diperluaskan meliputi hakmilik Pentadbir Tanah Daerah sebelum penghujung tahun 2021 ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Modul Carian Hakmilik Tanah di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains Teknologi Inovasi Komunikasi Dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengarah Tanah Dan Galian Pahang, YH. Dato’ Haji Fazilla Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, Affandi Mohd Isa dan Pengurus Jualan Pos Malaysia Negeri Pahang, Encik Rozaidi Ali.
Beliau berkata, perkhidmatan itu bukan sahaja antara transformasi penyampaian perkhidmatan awam dalam pentadbiran tanah, malah merupakan pendekatan alternatif dalam menawarkan perkhidmatan tanpa pelanggan perlu hadir secara fizikal ke pejabat.
Menurutnya, ia juga antara usaha menyahut saranan Kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 terutamanya apabila semakin banyak sektor ekonomi dibuka kelak.

“Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin ke arah mengembangkan ekonomi digital di Pahang, selain membantu mengurangkan kos perniagaan termasuk kos perjalanan untuk mendapatkan carian hakmilik tanah,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, kadar bayaran masih sama sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah–kaedah Tanah Pahang 1992 iaitu RM100 untuk carian rasmi dan RM50 bagi carian persendirian.
“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini akan menjadi pendorong kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan lain, untuk turut melaksanakan penambahbaikan kepada keseluruhan sistem penyampaian perkhidmatan awam kita,” katanya.-PAHANGMEDIA