Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2021: Seramai empat pelajar cemerlang di Negeri Pahang menerima sumbangan biasiswa pendidikan manakala 16 pelajar pula menerima wang pendahuluan sebagai persediaan ke Jordan.
Kesemua sumbangan berkenaan disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam pada Majlis Penyampaian Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang 2021, Wakil Pelajar Program KYP-Yarmouk dan Bantuan Kepada Anggota Keselamatan (PDRM).

Kesemua empat pelajar cemerlang menerima biasiswa bagi menaja pengajian bermula daripada peringkat asasi sehinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD) yang meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun komputer, elaun buku, elaun alat perkakasan dan elaun kertas projek/tesis.
Kesemua empat pelajar yang ditawarkan pada tahun ini telah menerima sijil, surat tahniah dan wang tunai RM1,000.
Seorang wakil daripada 16 pelajar bagi Program Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) kerjasama Kolej Yayasan Pahang (KYP) dengan Universiti Yarmouk Jordan telah menerima sumbangan wang pendahuluan berjumlah USD1,000 setiap seorang.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.
Sejak biasiswa ini diperkenalkan pada 1998, seramai 95 pelajar cemerlang anak Pahang telah ditawarkan biasiswa ini dan berjaya melahirkan ramai golongan profesional.
Pada majlis sama, turut diadakan pelancaran modul tempahan carian hakmilik tanah melalui aplikasi PahangGo yang merupakan aplikasi pertama dibangunkan dalam sistem pentadbiran tanah di Malaysia yang membolehkan orang awam membeli carian rasmi atau persendirian hakmilik tanah secara dalam talian.
Penyediaan perkhidmatan ini merupakan transformasi penyampaian perkhidmatan awam dalam pentadbiran tanah dan berperanan sebagai pendekatan alternatif dalam menawarkan perkhidmatan tanpa pelanggan perlu hadir secara fizikal ke pejabat. – PAHANGMEDIA