RAKYAT PAHANG SIAP DIVAKSIN PERTENGAHAN OKTOBER

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2021 : Sasaran 100 peratus penduduk dewasa di negeri ini lengkap terima dua dos vaksin dijangka tercapai pada pertengahan bulan hadapan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dalam satu hantaran di Facebook miliknya berkata, ia berdasarkan bekalan vaksin ke Pahang yang dijangka lebih stabil pada bulan ini dan Oktober.

“Pada masa ini sasaran liputan 100 peratus dos satu dewasa akan dicapai dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Sasaran ini mengambil kira semua warga Pahang yang layak disuntik dan telah berdaftar dalam My Sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sempena hari kemerdekaan negara yang disambut semalam, rakyat terutamanya di negeri ini diminta agar bersatu dalam ‘memerdekakan’ negara daripada belenggu COVID-19.

“Ia boleh dicapai dengan mematuhi dua perkara utama yang menjadi asas dalam usaha mengekang wabak itu.

“Pertama ialah kekalkan strategi asas iaitu kepatuhan kepada SOP, ia akan lindungi diri kita dan orang lain dari dijangkiti selain mempelajari kehidupan norma baharu.

“Kedua ialah mendapatkan suntikan vaksin segera. Data harian di Pahang menunjukkan dari setiap 100 kes baru, 85 orang adalah dikalangan mereka belum terima vaksin atau tidak lengkap dos vaksin,” katanya.

Menurutnya lagi, sasaran imuniti kelompok yang diharapkan tidak akan berlaku jika masih ramai belum terima vaksin lengkap.

“Kita mengharapkan 70 hingga 80 peratus rakyat yang menerima vaksin lengkap akan melindungi 20 ke 30 peratus rakyat yang belum terima vaksin seperti bayi dan kanak-kanak serta mereka yang ada kontraindikasi untuk terima vaksin.

“Apabila sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus warga Pahang telah lengkap dos vaksin, kita harapkan imuniti kelompok akan terbentuk dan akhirnya Pahang merdeka dari wabak COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download