Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 31 OGOS 2021 : Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dan menunjukkan tren menurun kebelakangan ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim berkata ini selari dengan tren kes harian jangkitan yang direkodkan di negeri ini.
“Kalau kita tengok tren sekarang ini (jumlah disahkan positif COVID-19), kita sebenarnya secara average kes harian kita di Pahang adalah di antara 500 kes hingga 600 kes.
“Secara purata dalam masa seminggu ini menunjukkan penurunan, jadi tren kemasukan di PKRC juga menurun dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pahang, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Haji Sabarudin Yeop Hamza.
Beliau dalam program tersebut menyampaikan bantuan berupa makanan kepada para petugas barisan hadapan kepada kira-kira 100 petugas di SUKPA, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), dan PKRC Gambang.
“Sumbangan ini hasil kerjasama bersama PRONITA, PBSM, Pertubuhan Skuad Bencana Pahang dan Dana Mawadah untuk meraikan frontliners kita sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan mereka yang tidak mengira masa dan waktu bekerja dalam bersama kita menguruskan pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Kolonel (PA) Che Adam berkata, kesemua lapan PKRC di negeri ini berbaki 1,049 tempat setakat data terkini yang direkodkan pagi tadi.
“PKRC Gambang masih berbaki 655 tempat, KUIPSAS berbaki 138 tempat, ILKMM pula 90 tempat, dan Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) Bentong sebanyak 59 tempat.
“Di PKRC Maran pula berbaki 32 tempat, SUKPA 28 tempat, PKRC UNITEN Rompin 24 tempat, dan PKRC IKBN Lanchang, Temerloh pula masih berbaki 23 tempat,” katanya. – PAHANGMEDIA