Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 31 OGOS 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli hadir ke Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2021.
Baginda yang tiba pada 8.30 pagi kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang terdiri daripada 107 anggota dan diketuai oleh Mejar Orbino Anak Devan dan dibantu oleh Kapten Shah Ammar Ridha Saidi.

Sambutan yang diadakan secara tertutup di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) ini turut dihadiri oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang yang juga Penyelaras Sambutan, YH Dato’ Zakaria Ibrahim serta barisan EXCO Kerajaan Pahang.
Dua buah helikopter daripada Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang dan Bendera Pahang semasa KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melakukan Hormat DiRaja.
Pesawat jenis Mi-17 ini diterbangkan oleh Kapten Pesawat Penguasa Kanan Bomba 1, Sofian Ahmed @ Ibrahim dengan dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Amir Fitri Salin, manakala pesawat Agusta A109E diterbangkan oleh Kapten Pesawat, Penguasa Kanan Bomba 1, Roslan Aziz dan dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Fazli Ezham Jamil.
Seterusnya acara dimulakan dengan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku oleh 14 anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1 Tanjung Gelang yang diketuai oleh Pegawai Waran 2, TLS Asmawi Mohd Solleh.
Sambutan kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar Rukun Negara dan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali diketuai oleh Mejar Mohd Husni Saberi dari Batalion Ke 12 Askar Melayu DiRaja Mekanize.
Ia kemudian diserikan dengan persembahan koir oleh Kumpulan Koir Perkhidmatan Awam Negeri Pahang, video maya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang, serta nyanyian oleh Saudara Roslan Madun dan Zetty Mentor.
Kemuncak sambutan bagi Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64 ini adalah lintas hormat lima buah pesawat Sukhoi SU-30 MKM yang diterbangkan khas oleh No.12 Skuadron yang berpengkalan di Pengkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.
Sambutan ini telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan menjemput tetamu melibatkan jabatan tertentu sahaja dan jemputan dan pihak media juga perlu mengambil ujian COVID-19 terlebih dahulu. – PAHANGMEDIA