KUANTAN, 31 OGOS 2021: Seluruh rakyat Pahang diseru agar membentuk kesatuan hati dan kesatuan tekad bersama-sama dengan Kerajaan Pahang untuk menghentikan penularan virus COVID-19.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu video ucapan sempena Hari Kebangsaan Ke-64 berkata, hanya dengan kesatuan hati dan tekad sahaja semua pihak mampu menang.
“Saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 pada 31 ogos ini.
“Dalam kita menghargai erti kemerdekaan kali ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia khasnya di Pahang untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini di mana kita dapat hidup dalam suasana harmoni, aman dan makmur berkat pengorbanan serta perjuangan tokoh-tokoh serta pemimpin yang terdahulu.
“Tokoh dan pejuang terdahulu seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Gajah dan ramai lagi, terpaksa mempertaruhkan darah dan nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta daripada belenggu penjajah,” katanya.
Beliau berkata, namun cabaran yang dihadapi pada kali ini agak berbeza kerana terpaksa berhadapan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu virus COVID-19.
Justeru katanya, rakyat diharap dapat membentuk kesatuan hati dan kesatuan tekad bersama-sama dengan Kerajaan Pahang untuk menghentikan penularan virus COVID-19 ini. – PAHANGMEDIA