Tuan Syed Zain Syed Mahadzar di hadapan wakaf yang dibina dipekarangan rumah dihiasi bendera serta potret-potret pemimpin negara menjadi tempat bagi beliau mencurahkan rasa patriotik.

WAKAF ISTIMEWA ZAHIR SEMANGAT MERDEKA SYED ZAIN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 31 OGOS 2021 : Sebuah wakaf yang dibina dipekarangan rumah dihiasi bendera serta potret-potret pemimpin negara menjadi tempat bagi Tuan Syed Zain Syed Mahadzar mencurahkan rasa patriotik yang tebal di kalbu.

Penduduk jati Kuala Pahang berusia 69 tahun ini berkata, harga kemerdekaan yang tak mungkin dapat dinilai terutama generasi masa kini hanya dapat dilihat melalui kibaran bendera mahupun laungan merdeka semata.

Tuan Syed Zain Syed Mahadzar di wakaf yang dibina dipekarangan rumah dihiasi bendera serta potret-potret pemimpin negara menjadi tempat bagi beliau mencurahkan rasa patriotik.

“Saya mahu menzahirkan rasa terima kasih terutamanya kepada pejuang dan pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah membawa kita semua hidup dalam rasa aman dan makmur hari ini.

“Saya berharap semangat ini dapat disebarkan kepada penduduk sekitar terutamanya anak-anak muda yang kurang menghargai nilai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Sementara itu, bercerita lanjut sempena dengan bulan kemerdekaan ini, beliau yang juga bekas penjawat awam berharap agar apa yang dilakukan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menghargai sejarah dan nikmat kebebasan yang dikecapi sehingga hari ini.

“Masih ramai di antara kita khususnya golongan muda yang gagal menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan tidak mahu menelusuri kembali sejarah perjuangan dalam mencapai kemerdekaan.

Tuan Syed Zain Syed Mahadzar.

“Penghayatan ini perlu bagi memberi suntikan semangat dan bersama berusaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi,” katanya.

Menurutnya, segala isu dalaman termasuk penyatuan kaum seharusnya diselesaikan dan pertelingkahan yang berlaku harus segera dihentikan demi mencapai hasrat untuk melihat negara ini terus maju dan membangun seiring dengan keamanan yang dimiliki.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kibaran Jalur Gemilang, beliau berkata ada segelintir pihak yang kurang mempunyai jati diri sebagai rakyat yang sayangkan negara apabila tidak mengibarkan bendera di premis masing-masing walaupun pada sambutan bulan kebangsaan.

Lebih mengecewakan katanya, terdapat pihak yang hanya mengharapkan bendera percuma diberikan setiap kali tiba sambutan kemerdekaan.

“Saya perhatikan kalau kerajaan tidak membuat desakan, kurang syarikat swasta, kilang-kilang atau pengusaha kedai mengibarkan Jalur Gemilang di premis mereka dengan sukarela.

“Seharusnya sikap mengibar bendera itu disemai dan dijadikan satu budaya setiap kali menjelang sambutan bulan kemerdekaan tanpa perlu menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download