Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 OGOS 2021 : Berita tular mengenai arahan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang kononnya tidak membenarkan aktiviti riadah dan bersukan dijalankan di daerah ini adalah palsu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan seperti itu.
Menurut beliau lagi, semua arahan dan peraturan yang digunapakai pada masa ini adalah tertakluk kepada yang telah digariskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua.
Sebelum ini telah tular mengenai satu laporan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Kuantan mengenai makluman aktiviti riadah dan bersukan tidak dibenarkan di tempat awam di dalam daerah ini atas arahan Datuk Bandar.
Menurut laporan yang bertarikh 28 Ogos itu, hanya aktiviti perniagaan seperti pembelian makanan secara pandu lalu sahaja dibenarkan, dan ianya berkuatkuasa serta merta.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN bagi PPN Fasa Dua, semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak bersentuhan fizikal dibenarkan dengan mematuhi penjarakkan 2 meter hingga 3 meter dikawasan terbuka dan separa terbuka bermula 6 pagi hingga 10 malam.
Bagi aktiviti perkelahan dan perkemahan tidak dibenarkan bagi individu yang masih belum lengkap menerima suntikan vaksinasi mereka. – PAHANGMEDIA