Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI: PELAN JENDELA TINGKAT PERKHIDMATAN LIPUTAN JALUR LEBAR 4G DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Razak

KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Perlaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat mempertingkatkan perkhidmatan internet jalur lebar tetap dan mudah alih di seluruh negeri ini menjelang tahun 2022 apabila semua kerja pembangunan dan naiktaraf infrastruktur komunikasi siap dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini terbukti dengan peningkatan kadar liputan 4G semakin menampakkan hasil menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Berdasarkan rekod daripada SKMM, kadar liputan 4G di Kawasan berpenduduk di negeri Pahang terus mencatatkan peningkatan seperti berikut, pada tahun 2018 sebanyak 65.6 peratus, pada tahun 2019 sebanyak 70.5 peratus kadar liputan, pada tahun 2020 pula meningkat kepada 89.3 peratus dan kadar liputan terus meningkat kepada 90.25 peratus pada suku kedua 2021 di mana sasaran adalah 96.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk menaiktaraf projek jalur lebar talian tetap sebanyak 118,226 premis telah disasarkan di negeri ini dengan rangkaian gentian optik di mana perlaksanaannya telah bermula pada 2020 hingga Jun 2021.

Manakala bagi projek perluasan jalur lebar mudah alih, sebanyak 270 menara baharu telah ditetapkan untuk dibina di seluruh Pahang di mana 26 daripadanya telah beroperasi manakala 244 lagi sedang dalam perlaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung 2022.

Kerajaan juga berusaha memastikan agar semua rakyat dapat menikmati akses perkhidmatan komunikasi dengan baik dan stabil dengan meluluskan pemakaian Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) yang menetapkan semua pemajuan baharu mengambil kira keperluan kemudahan komunikasi jalur lebar di Kawasan pembangunan baharu.

Peningkatan budaya hidup digital yang semakin meningkat ketika ini turut menyumbang kepada peningkatan pengguna aktif menerusi aplikasi PahangGo hingga mencecah sekitar 20,000 pengguna secara bulanan.

Aplikasi ini juga turut membantu kerajaan untuk mempromosikan Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang, menyediakan platform kutipan sumbangan kempen Pahang4Palestine serta menyebarkan berita terkini menerusi ruangan Pahang Media di aplikasi tersebut.

Perkhidmatan sedia ada menerusi PahangGo termasuklah pembayaran parkir, kompaun, cukai taksiran, cukai tanah, bil-bil utiliti perkhidmatan baru, Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) dan Sistem Pendaftaran Perkhidmatan Perlu (e-essential).

Menjawab pertanyaan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Haji Khairuddin Haji Mahmud berkenaan penyediaan infrastruktur dan rangkaian teknologi 5G yang akan dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB), beliau berkata, di bawah inisiatif JENDELA, sebanyak empat menara baru akan dibina di Kampung Mencupu / Ladang IOI Pulau Manis, Kampung Pelak, Kampung Permatang Jambu Air dan Kampung Pulau Rusa.

Terdapat juga sebuah menara yang telah pun siap dan mula beroperasi pada Mei 2021 di Kampung Langgar.

Kerajaan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif khusus bagi pelajar yang menjalani PDPR dengan pemberian sumbangan kepada 19,254 pelajar yang bakal menduduki SPM dengan jumlah peruntukan RM962,700.

Sebanyak 1,100 komputer riba juga telah diperuntukkan kepada pelajar di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Pahang yang menduduki peperiksaan SPM 2021 dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta.

Menerusi inisiatif CERDIK pula, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang turut terlibat dalam pembekalan peranti digital kepada murid-murid B40 sebanyak 11,052 unit melibatkan 130 sekolah bagi tahun 2021.

Selain itu, 108 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang diselia oleh SKMM di seluruh Pahang turut membantu meningkatkan kemahiran dan literasi digital para pelajar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download