Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Langkah penubuhan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) dilihat memberi kesan membanggakan terutamanya dalam mencungkil serta mengasah bakat kepimpinan anak muda.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustafa Long berkata, pujian seharusnya diberikan kepada YAB Menteri Besar Pahang yang turut memikirkan pembentukan kualiti golongan belia.
“Kita lihat ia adalah satu kejayaan terutamanya dari segi kesukarelawan dan juga pembangunan modal insan. MTSP ini juga sangat berkesan dalam membantu masyarakat di mana sukarelawan-sukarelawan ini dapat dilihat ketika musibah banjir dan kini di pusat-pusat pemberian vaksin.
“Saya lihat peranan mereka begitu menyerlah bersama-sama dengan pasukan lain, dan apa yang menarik mereka ini bukan hanya terlibat secara langsung di PPV tetapi juga giat mempromosi vaksin sehingga peratusan mereka yang menerima vaksin telah meningkat (sebelum ini ramai yang menolak vaksin),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa Pahang telah menunjukkan contoh sebuah Kerajaan Negeri yang cukup baik di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar.
“Lihat sahaja di Pahang ini, kita aman dan politik kita tidak seperti di pusat.. Inilah contoh yang boleh dibanggakan.
“Kita bukan hanya ada BN, tapi kita ada PAS dan parti-parti lain tetapi sidang dewan kita berlangsung secara aman damai tanpa sebarang sengketa dan pergaduhan,” katanya. – PAHANGMEDIA