Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

PERTANIAN, PELABURAN SUMBANG HASIL UTAMA PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 23 OGOS 2021 : Penangan pandemik COVID-19 turut menyaksikan Pahang merekodkan sedikit penyusutan hasil pada tahun lalu dengan pencapaian KDNK sebanyak RM54.9 bilion berbanding RM58.4 bilion pada tahun 2019.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda dimaklumkan berkenaan sektor pertanian yang menjadi penyumbang terbesar kepada pembangunan negeri.

“Saya berharap kerajaan negeri akan terus memberikan lebih penekanan, kepada sektor pertanian di samping sektor-sektor lain sedia ada. Konsep pertanian konvensional perlulah diubah kepada pertanian moden dan berteknologi tinggi termasuk memperhebatkan penggunaan internet of things dalam sektor pertanian.

“Saya juga berharap agar golongan muda tidak skeptikal terhadap bidang pertanian di mana banyak sokongan serta bantuan kemudahan daripada kerajaan negeri dan persekutuan boleh diperoleh seperti geran, dana pinjaman, tanah, khidmat nasihat serta pemasaran untuk mereka yang berminat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut mengalu-alukan kedatangan pelabur luar dan tempatan ke negeri Pahang dan berasa sukacita dengan usaha yang telah dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’Sri Wan Rosdy Wan Ismail serta seluruh jentera Kerajaan Negeri dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing dan tempatan ke negeri ini.

“Saya difahamkan pada tahun 2020 sahaja, pelaburan yang berjaya ditarik ke Negeri Pahang berjumlah RM6.8 billion, begitu juga dengan misi-misi pelaburan yang telah berjaya dilaksanakan melibatkan negara-negara seperti Belgium, Belanda, Singapura, China serta yang terbaharu, Thailand.

“Ia sudah pasti berjaya memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi negeri dan bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat saya,” titah baginda.

Baginda turut menyokong segala usaha kerajaan negeri untuk mengekang ketirisan hasil demi memastikan penjanaan hasil yang optimum.

“Saya amat berpuas hati dengan kutipan hasil negeri pada tahun lepas, yang telah berjaya mengutip sebanyak RM 850 juta berbanding sasaran asal RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 115 peratus.

“Tahniah Menteri Besar Pahang dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri yang telah bertungkus-lumus meningkatkan hasil tersebut dan ianya adalah selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, atau good governance dalam amalan ESG.

Besar harapan baginda untuk melihat prestasi kutipan pada tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas dan lebihan kutipan hasil tersebut dapat digunakan untuk melaksanakan projek fizikal dan bukan fizikal, serta inisiatif yang bersesuaian demi kesejahteraan rakyat di negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download