Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

AMAL PRINSIP ENVIRONMENTAL, SOCIAL DAN GOVERNANCE (ESG) – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 23 OGOS 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environmental, Social and Governance (ESG) di negeri ini.

Baginda menyeru kepada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, syarikat korporat dan swasta serta orang perseorangan mengambil serius tentang pelaksanaan ESG.

“Janganlah ianya menjadi retorik semata-mata, sebaliknya prinsip ESG ini perlu menjadi amalan dan panduan kita dalam menjadi khalifah di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat-60, ‘dan janganlah kamu melakukan kejahatan di bumi dengan membuat kerosakan’.

“Sesungguhnya, apa jua peranan dan pekerjaan kita dalam segala lapis masyarakat, kita haruslah memimpin dan menguruskan segala nikmat alam yang dipinjamkan oleh Allah SWT,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail,
YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Baginda mengingatkan kepada Kerajaan Negeri agar menyemak dan meneliti semula peraturan serta SOP sedia ada agar kekurangan yang ada dapat diperbaiki selari dengan prinsip ESG.

“Saya mengalukan-alukan pembangunan yang maju dan serba moden namun ianya bukanlah alasan untuk kita mengabaikan alam sekitar, dan melakukan kemusnahan sesuka hati.

“Matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. jadi pembangunan dan kemajuan yang kita harapkan mestilah mengekalkan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna dan kerajaan saya sendiri mestilah ditadbir dan menjadi contoh dalam mengamalkan prinsip ESG,” titahnya.

Baginda turut menyeru kepada kerajaan agar melihat potensi pelaburan yang bersesuaian dan paling penting ianya mestilah selari dengan konsep ESG yang ditekankan.

“Segala pelaburan tersebut haruslah dilaksanakan dengan penuh berintegriti dan tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna.

“Kemungkinan keperluan projek pembangunan tersebut menyebabkan suatu kawasan baharu dibuka, maka ianya mestilah dilaksanakan dengan impak yang paling minima kepada alam sekitar,” titahnya.

Titah baginda lagi, kawasan-kawasan perlindungan flora dan fauna serta hutan simpan kekal, Taman Negara, Taman Negara Endau Rompin, hutan lipur dan hutan rimba, Tasik Chini dan Tasik Bera, Bukit Fraser, gunung-ganang, kawasan gua, kawasan tadahan air dan sungai, kawasan pantai dan pulau-pulau serta kawasan penempatan orang asli hendaklah terus kekal dipelihara. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download