Ketua Pegawai Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Encik Mohd Shahril Mohd Arshad ketika membuat pemeriksaan di sebuah gerai buah-buahan di bandar Kuantan.

COVID-19: KERAJAAN PAHANG JALANKAN PEMERIKSAAN SECARA RAWAK

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 22 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menjalankan pemeriksaan COVID-19 secara rawak kepada para peniaga di daerah ini sebagai langkah pemantauan secara berkala.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Encik Mohd Shahril Mohd Arshad berkata, operasi ini juga bagi memastikan para peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Disamping itu, Kerajaan Negeri juga membuat inisiatif supaya kita dapat memberi kesedaran kepada peniaga-peniaga supaya aware dengan wujudnya rapid test kit yang mana peniaga-peniaga boleh membelinya daripada farmasi berdekatan.

Anggota penguatkuasa membuat pemeriksaan di sebuah gerai buah-buahan di bandar Kuantan.

“Jadi perkara ini boleh dibuat (ujian kendiri) supaya mereka mempunyai persiapan diri dan juga berhati-hati dengan kesihatan diri dalam mempunyai pelanggan yang ramai.

“Jadi hari ini kita tunjukkan (cara menggunakan kit ujian pantas COVID-19) dan kita buat ujian secara rawak kepada peniaga-peniaga dan Alhamdulillah daripada semua test kit yang dibuat, percubaan semua menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Operasi Pemantauan Pematuhan SOP di Gerai Buah-buahan di sekitar daerah Kuantan.

Seramai 20 orang daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang menyertai operasi ini.

Beliau berkata usaha ini akan diperluaskan ke daerah-daerah lain selepas ini bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kita mungkin akan diperluaskan ke daerah-daerah lain dalam usaha kita ambil satu inisiatif bagi membendung gejala COVID di Pahang.

“Ini adalah program yang pertama yang kita buat pada hari ini dan kita jangka pergerakan akan berterusan supaya kita sentiasa memantau progress peningkatan kes COVID-19 di negeri ini selain mengajar langkah pencegahan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peniaga yang menjalani ujian menggunakan kit pantas COVID-19 hari ini, Encik Baharom Mat Yatim berkata ujian yang dijalankan hari ini sangat mudah digunakan.

Seorang peniaga menunjukkan rapid test kit COVID-19.

“Cara (ujian kit pantas) ini lebih mudah dan tak perlu rasa takut macam bila kita kena ujian calitan dan saya rasa ujian ini lebih effective memandangkan saya berurusan dengan orang ramai,” katanya.

Menurut seorang lagi peniaga buah-buahan, Puan Siti Nor Hanani Zahari, dia rasa lebih selamat untuk menggunakan kit ujian ini selepas ini kerana ia mudah dan pantas.

“Bila dah buat hari ini (ujian kit pantas) saya rasa lebih selamat nak serve pelanggan yang datang ke kedai saya. Lagipun ujian ini mudah macam guna pregnancy test sahaja,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download