Oleh : Shazli Sufi Che Unik
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 22 OGOS 2021 : Pekebun sayur di Pahang disaran supaya mendaftar projek tanaman mereka bagi mengelak berlaku lambakan hasil yang boleh merugikan pengusaha tanaman tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, cadangan pendaftaran projek merupakan satu langkah kawalan yang perlu bagi memastikan pekebun sayur tidak mengalami kerugian.
“Kita mencadangkan supaya petani-petani mendaftar agar kita tahu (penanaman dilakukan) sebab sekarang ini bila petani tidak daftar, kita tidak tahu sebenarnya ramai mana petani yang mengusahakan tanaman atau menjalankan aktiviti pertanian khususnya pada skala yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang dan Peruntukan Khas Menteri Besar Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Sumbangan melalui kaedah pandu lalu itu melibatkan lebih 100 penerima yang meliputi insentif pemberian jubah, insentif pengusaha kantin dan dewan makan serta insentif kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi berkata, pekebun di TKPM Inderapura yang memusnahkan pokok timun sebenarnya mereka bukan peserta ladang kontrak dan tidak mendaftar dengan FAMA.
“Saya nasihatkan pekebun yang menghadapi masalah lambakan hasil supaya segera maklumkan kepada pihak berkaitan dalam usaha membantu meringankan beban kerugian mereka.
“Tahun lalu berlaku kejadian lambakan labu manis dan Kerajaan Negeri memohon kerjasama agensi berkaitan termasuk FAMA untuk membantu memasarkannya,” katanya. – PAHANGMEDIA