Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menyampaikan 762 bakul makanan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah dan generasi kedua FELDA di Raub.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata bantuan ini melibatkan kawasan FELDA Tersang 1, 2 dan 3.
“Ini bantuan kali kedua yang disampaikan kepada penduduk di kawasan ini namun ini kali pertama generasi kedua menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri.
“Sebelum ini Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah telah menyalurkan bantuan kepada ketua peneroka melibatkan bekalan makanan dan wang tunai,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
Beliau berkata bantuan kepada generasi kedua FELDA ini bagi mengurangkan beban ditanggung mereka yang terjejas semasa pandemik COVID-19 ini.
“Kita mahu semua penduduk terkesan menerima bantuan dan tiada pihak yang tercicir bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.
“Kita juga beri bantuan berupa wang dan bakul makanan kepada penduduk yang dikuarantin dan kepada generasi kedua, kita tambah lagi bekalan makanan kering,” katanya.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Raub, Encik Faiz Rosle dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Raub. – PAHANGMEDIA