Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 22 OGOS 2021 : 30 buah rumah yang terjejas banjir di daerah ini menerima bantuan sebanyak RM300,000 bagi membaik pulih semula rumah mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata bantuan ini diberikan oleh Kerajaan Pusat.
“Sebanyak 12 kampung yang terlibat banjir kita bantu dengan beri bantuan baik pulih rumah dengan anggaran RM10,000 bagi sebuah rumah.
“Bantuan ini kita sampaikan melalui ketua-ketua kampung dan mereka akan bahagikan mengikut tahap kerosakan rumah yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Cek Membaiki Rumah Banjir di Pejabat UMNO Temerloh.
Menurut beliau lagi, bantuan yang diberikan ini bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah yang terkesan.
Sementara itu, menurut Tok Empat Kampung Tanjung Batu, Tuan Haji Kamarul Arifin Ishak berkata beliau menghargai keperihatinan pihak Kerajaan Negeri bagi bantuan ini.
“Bagi kawasan Tanjung Batu, ada sekitar 30 buah rumah yang terlibat dengan banjir dan dengan bantuan RM40,000 yang diberikan ini akan diagihkan kepada rumah terlibat mengikut tahap kerosakan mereka,” katanya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK), Tuan Haji Abdul Syukur Abdul Wahab mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang diatas bantuan ini.
“Terima kasih di atas bantuan bagi membaik pulih rumah sebanyak tiga buah rumah dalam JKK saya yang bernilai satu rumah RM10,000 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM30,000.
“Saya mengucapkan terima kasih atas prihatinnya Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar membantu meringankan beban kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Dalam program yang sama, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar turut menyampaikan sumbangan secara pandu lalu kepada 30 Tok Empat bagi kawasan Lanchang dan Mentakab. – PAHANGMEDIA