Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato' Sri Haji Ishak Haji Muhamad ketika program Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

PERSIDANGAN DUN PAHANG 23 HINGGA 26 OGOS, BERLANGSUNG DALAM SOP KETAT

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 21 OGOS 2021 : Proklamasi darurat yang ditarik semula pada 1 Ogos lalu menyaksikan beberapa negeri mula melaksanakan Persidangan Dewan Negeri termasuk Pahang sendiri.

Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad berkata, Persidangan DUN Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 akan bermula pada 23 hingga 26 Ogos ini dengan perincian prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurutnya, persidangan tersebut telah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita telah mewujudkan jawatankuasa kerja khas yang akan memantau dan menasihati perjalanan dewan khususnya dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang dengan beberapa SOP ketat akan dikenakan berikutan kadar kes COVID-19 di Pahang khususnya di Kuantan masih tinggi dan dalam keadaan membimbangkan,” katanya ketika ditemubual dalam Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Beliau berkata, antara SOP yang ditetapkan ialah ujian saringan (swab test) kepada setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) urusetia dewan serta ketua-ketua jabatan yang terlibat pada hari esok di Klinik kesihatan Kuantan.

“Ini bagi memastikan tiada siapa antara mereka yang terlibat dalam Sidang DUN itu nanti membawa jangkitan COVID-19, malah kita juga tidak akan membenarkan mereka yang mempunyai gejala untuk berada di dalam dewan bagi mengelakkan risiko berlaku jangkitan penyakit itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, persidangan juga akan berlangsung dalam masa terhad kerana mereka tidak boleh berada terlalu lama dalam dewan.

“Kita akan buat pada pukul 9 pagi hingga 3 petang dan sesi akan disambung pada hari berikutnya. Kita akan meminta wakil-wakil parti mengambil bahagian dalam perbahasan dengan memilih YB di kalangan parti masing-masing sebab kita tak boleh benarkan semua YB ambil bahagian hingga ambil masa yang lama.

“Kena ikut SOP memendekkan jangka masa tertentu supaya ada wakil parti boleh berbahas begitu juga soalan dan jawapan dapat dibentangkan dalam masa yang ditetapkan.Apa yang penting kita tak mahu duduk lama dalam dewan kerana kita akan hadapi risiko tinggi, jadi kita hadkan beberapa tempoh tertentu supaya kita masih boleh berbahas,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya berkenaan Usul dan Rang Undang-Undang, beliau berkata beberapa perkara akan dibentangkan dalam persidangan kali ini.

“Seperti biasa dalam setiap persidangan selain daripada aturan mesyuarat, pihak kerajaan akan bawa beberapa Rang Undang-Undang untuk dibahaskan iaitu Rang Undang-Undang Majlis Bandaraya Kuantan, Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Rang Undang-Undang Enakmen Perbadanan Taman Negeri serta Rang Undang-Undang Biodiversiti Negeri Pahang.

“Selain itu, ada beberapa kertas penyata kewangan daripada 17 buah Majlis Daerah turut dibawa dan setakat ini tiada usul dibahaskan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download