Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin menyampaikan Cek Membaiki Rumah Banjir di Pejabat UMNO Temerloh

KAWASAN PELANCONGAN BAKAL DIBUKA DI PAHANG PERLU CAPAI IMUNITI KELOMPOK

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 20 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang akan memastikan kawasan pelancongan yang akan dibuka kepada pelancong kelak telah pun mencapai imuniti kelompok terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata ini bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikekang.

“Kita masih lagi menunggu (kebenaran) sebab antara lainnya kita nak pastikan supaya tempat-tempat pelancongan yang dibuka ini, mereka telah mencapai herd immunity.

“Maksudnya sama ada penduduk, pekerja atau pun petugas yang berada di situ, mereka telah pun mendapat suntikan vaksin sebanyak dua kali. Keduanya mereka yang pergi juga mesti mendapat vaksin lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Cek Membaiki Rumah Banjir di Pejabat UMNO Temerloh hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin menyampaikan Cek Membaiki Rumah Banjir di Pejabat UMNO Temerloh

Beliau berkata apabila Kerajaan Negeri juga telah menerima banyak permintaan daripada para pemain industri dan juga pelancong berkaitan pembukaan semula kawasan pelancongan ini.

“Jadi sebab itulah kita harap supaya apabila semuanya selesai nanti maka kita akan buka secara perlahan-lahan (sektor pelancongan) kerana kita memang banyak menerima permintaan daripada banyak pihaksebab saya pernah buat statement kita nak jadikan Negeri Pahang ini negeri yang awal untuk membuka kawasan ini.

“Tetapi ianya hanya terhad kepada mereka yang tinggal di Negeri Pahang sahaja kerana merentas negeri masih lagi tidak dibenarkan dan dengan keadaan politik negara yang masih tidak menentu, kita hold dululah,” katanya.

Menurut beliau sekiranya sektor pelancongan di negeri ini telah dibenarkan untuk kembali dibuka, Kerajaan Negeri akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur yang digariskan oleh Kerajaan Pusat.

“Kerana banyak prosedur dan SOP ianya ditentukan oleh Kerajaan Pusat dan kita di Kerajaan Negeri ini hanya mengikut dan kemungkinan kita akan buat sedikit sebanyak perubahan mengikut kesesuaian yang kita rasakan perlu untuk negeri kita.

“Macam Negeri Pahang, kita ada task force kita, tapi ada beberapa perkara mungkin kita buat sedikit sebanyak adjustment walaupun dari segi prinsipnya ia mesti tertumpu kepada Kerajaan Pusat,” katanya.

Pihak Tourism Pahang sebelum ini memaklumkan terdapat lapan lokasi yang telah dikenal pasti bagi menerima pelancong iaitu Pulau Tioman, Rompin; Janda Baik, Bentong; Taman Negara, Jerantut; Genting Highlands, Bentong; Bukit Fraser, Raub; Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh; Taman Negeri, Rompin dan Cameron Highlands. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download