Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
ROMPIN, 20 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah bersedia untuk membuka semula Pulau Tioman bagi kemasukkan pelancong dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, perkara ini telah pun dibangkitkan kepada YAB Menteri Besar Pahang.
“Kita sangat mengharaplah mudah-mudahan hujung bulan Ogos ini perkara ini (pembukaan semula Pulau Tioman kepada pelancong) dapat dijalankan dan semalam saya juga telah membangkitkan perkara ini kepada YAB Menteri Besar Pahang.

“Kita memang telah bersedia untuk buka (Pulau Tioman) walaupun tahu jangka masa kalau dah buka pun tak berapa lama sebab dah bertemu dengan monsun dan kita memang sasar pada bulan Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 107 pengusaha bot pelancong Daerah Rompin di Dewan Kuala Rompin.
Turut hadir, Pegawai Daerah Rompin, YBhg. Encik Ahmad Nasim Mohd Sidek dan Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Encik Kamarudin Ibrahim.
Menurut beliau lagi, bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan gelembung pelancongan di Tioman dilihat tidak menjadi masalah.
“Saya lihat dari segi pematuhan SOP setakat ini Pulau Tioman antara lokasi dan penduduk sangat patuh kepada SOP. Mereka telah sebati dengan SOP ini dan saya rasa tak ada masalah daripada segi pematuhan SOP ini.
“Bila mana pelaksanaan bubble travel ini, kita akan pastikan juga mereka yang masuk telah dapat dua dos dan mungkin kita akan cadangkan kepada Kerajaan Negeri dan PKOB daerah kalau boleh sebelum masuk ini akan ada saringan yang agak ketat,” katanya. – PAHANGMEDIA