KUANTAN, 19 OGOS 2021: Kerajaan Pahang akan terus memberikan perhatian serius dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz yang berdaftar di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang tidak mahu melihat sekolah pondok atau tafiz dipandang sebagai insitusi pengajian yang serba daif atau ketinggalan.
“Kerajaan Pahang sangat menghargai peranan yang dimainkan oleh ulama-ulama dan institusi agama termasuk sekolah pondok serta tahfiz.
“Sebab itu kita terus memberikan perhatian serius dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada sekolah pondok yang berdaftar di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Nadwah Pondok dan Tahfiz Pahang yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Beliau berharap pondok dan tahfiz dapat terus berusaha memastikan agar pelajarnya mendapat pendidikan yng berkualiti dan sentiasa meningkatkan fasitiliti yang ada secara berperingkat.
Selain itu dalam masa yang sama terus terus mengekalkan ketulinan pengajian agama yang diwarisi sejak mula sistem ini ditubuhkan.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada KUIPSAS atas penganjurkan program ini dan tidak dilupakan kepada MUIP dan semua agensi yang terlibat.
Katanya, Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang seminar, persidangan atau nadwah seperti ini untuk platform semua pihak bertukar-tukar ilmu dan pengalaman. – PAHANGMEDIA