Oleh : Fairus Mohd
PEKAN, 18 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menyampaikan insentif kepada 35 orang pelajar dari tiga daerah yang memperoleh enam A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebagai galakan agar kecemerlangan dapat diteruskan pada masa akan datang.
Bagi pelajar Orang Asli dan Murid Berkeperluan Khas (MBK) Orang Kurang Upaya pula, mereka hanya perlu memperoleh lima A ke atas dan kesemua pelajar cemerlang dari daerah Pekan, Kuantan dan Rompin ini menerima RM100 bagi setiap A yang diperoleh mereka.
Pada majlis sama juga, tujuh buah sekolah turut menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM5,000 bagi setiap sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, insentif yang diberikan itu antara bukti kesungguhan kerajaan negeri dibawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk melahirkan lebih ramai lagi pelajar cemerlang di peringkat SPM.
Menurutnya, insentif berkenaan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada calon SPM pada masa akan datang untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai impian.
“Dalam menghasilkan pelajar cemerlang, kerjasama pihak sekolah amat diperlukan dan guru merupakan individu penting kepada setiap pelajar untuk mencipta kejayaan diharapkan.
“Kerjasama pelbagai agensi juga turut menjadi pencetus kepada pencapaian cemerlang dikalangan pelajar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif berkenaan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, di sini.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Encik Mohammad Rosli Abdul Rahman; Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Encik Mohd Razali Mustafa serta wakil rakyat setempat.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya difahamkan Menteri Besar Pahang turut akan menyalurkan bantuan kewangan khas kepada Jabatan Pendidikan Pahang tidak lama lagi untuk kegunaan pendidikan.
“Pencapaian cemerlang daerah ini dalam peperiksaan SPM tahun lalu adalah suatu yang membanggakan semua pihak. Kerjasama berpasukan diketuai Pegawai PPD, guru dan ibu bapa menjadi pencetus kepada kejayaan itu.
“Saya berharap PPD lain dapat mengikut cara serta kaedah yang digunakan PPD Pekan menghasilkan pencapaian pelajar cemerlang,” katanya. -PAHANGMEDIA