Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 17 OGOS 2021 : Bantuan Prihatin Pahang Fasa 2 terus menemui sasarannya dalam usaha meringankan beban semua penerima ketika masih menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program bantuan diteruskan ke Daerah Pekan melibatkan penerima yang telah disenaraikan.
“Pagi ini saya menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada 19 orang Pelajar cemerlang SPM 2020, 22 orang pekerja dewan makan dan 12 orang pekerja kantin sekolah.
“Pada majlis sama juga saya menyampaikan jubah dan kain pasang kepada imam, bilal dan siak di 22 buah masjid serta 13 buah surau di daerah Pekan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas penyampaian secara pandu lalu di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),YH Dato’ Dr Zulkifle Ali; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau JAIP, Tuan Haji Ahmad Nizam Abdul Manan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Ustaz Mohd Fadzli Mat Saman dan Penolong Kadi Daerah Pekan, Ustaz Abdullah Kassim.
Dalam pada itu beliau berkata, BPP akan diteruskan ke daerah lain seperti Rompin dan Jerantut bagi memastikan setiap penerima menerima manfaat hasil inisiatif Kerajaan Negeri ini.
“BPP ini seperti jelajah bertemu mereka yang memerlukan di seluruh Daerah dalam Negeri Pahang.
“Jadi kita tak akan pernah berhenti malah akan sentiasa membantu rakyat terutamanya dalam keadaan hidup yang penuh kesulitan kini,” katanya. – PAHANGMEDIA