Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin ketika Program Pemulihan Sungai Galing (Balingan EM Mudball) di Pinggiran Sungai Galing.

KERAJAAN PAHANG CADANG BERSIH SUNGAI GALING BERMULA TAHUN INI SEHINGGA 2023

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 15 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang merancang membersihkan Sungai Galing dalam dua fasa melibatkan 20 program bermula tahun ini sehingga 2023.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata kesemua program ini meliputi program jangka pendek dan program jangka panjang.

“Pelan tindakan Program Pemulihan Sungai Galing dilaksanakan melalui program jangkamasa pendek, sebanyak 12 program yang dirancang dijalankan dalam tempoh enam bulan bermula Ogos 202 hingga Januari 2022.

“Antara program jangka pendek termasuklah, penguatkuasaan bersepadu, pembersihan sungai seperti Program Baling Mud Ball hari ini, pemangkasan pokok, dan pemasangan papan tanda pemakluman rizab sungai.

“Manakala bagi jangka masa panjang, sebanyak lapan program akan dijalankan dalam tempoh dua tahun bermula November 2021 sehingga November 2023 melibatkan penambahbaikan jajaran sedia ada, penetapan rezab sungai, pewartaan rizab sungai, dan Projek Agro Pelancongan di Hulu Sungai Galing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Pemulihan Sungai Galing (Balingan EM Mudball) di Pinggiran Sungai Galing, di sini.

Beliau berkata Program Pemulihan Sungai Galing ini merupakan program kolaborasi diantara tujuh agensi di Negeri Pahang.

“Program ini melibatkan kolobrasi diantara Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTGNP), dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang.

“Ia juga melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan, dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya.

Tambah beliau lagi, sebanyak lapan agensi terlibat di dalam tindakan penguatkuasaan ya g dilaksanakan secara berterusan bermula Jun lepas.

“Tindakan penguatkuasaan bermula dari bulan Jun 2021 dan dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu oleh lapan agensi iaitu, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS), dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“Selain itu, turut terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan, Badan Kawal Selia Air (BKSA), dan Indah Water Konsortium (IWK).

“Pada tahun 2021 ini , sebanyak 1,602 premis telah diperiksa dan 36 kompaun telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata dengan penguatkuasaan yang dijalankan setakat ini, indeks kualiti air di Sungai Galing berada pada Kelas 4 berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2012 dan telah meningkat kepada Kelas 3 baru-baru ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download