Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman (kanan) ketika sesi pertemuan secara maya bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad hari ini.

PETRONAS SUMBANG 771 PERANTI PEMBELAJARAN KEPADA PELAJAR NEGERI INI BAGI BANTU PDPR

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 15 OGOS 2021 : Seramai 771 pelajar di negeri ini menerima sumbangan peranti pembelajaran tajaan Yayasan Petronas bagi membantu sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman berkata sumbangan ini turut meliputi kemudahan data internet, kemudahan penyelenggaraan peralatan, jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun sesi akademik.

“…sumbangan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) disampaikan kepada 167 pelajar SMK Pelabuhan Kuantan, 116 pelajar SMK Tengku Ampuan Afzan Maran, dan 105 pelajar SMK Khai Mun Bentong.

“103 pelajar SMK Ringlet, 77 pelajar SMK Kampung Raja Cameron Highlands, 78 pelajar SMK Paya Pulai, Temerloh, 69 pelajar SMK Merapoh, Lipis dan 56 pelajar SMK (LKTP) Tersang Raub,” katanya semasa sesi pertemuan secara maya bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika sesi pertemuan secara maya bersama Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemical MTBE Berhad, Ahmad Zaiyan M Kassim.

Beliau berkata sumbangan yang disampaikan ini adalah merupakan sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh negara.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Sebagai organisasi yang menekankan aspek pendidikan, PETRONAS sentiasa komited menyokong usaha kerajaan di dalam memastikan rakyat di negara ini menikmati pendidikan yang berkualiti.

“Justeru dengan sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini, diharapkan akan membantu mengatasi jurang digital di kalangan rakyat melalui penyediaan akses yang lebih baik terutamanya untuk mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR),” katanya.

Sementara itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang berterima kasih dengan sumbangan peranti pembelajaran tajaan Yayasan Petronas kepada 771 pelajar di negeri ini.

Beliau berkata sumbangan ini dilihat mampu mengukuhkan penguasaan akedemik para pelajar di negeri ini.

“Keperluan alat-alat ini memang tidak dapat disangkal lagi. Dengan keadaan ekonomi semakin merudum, tambahan pula COVID-19 yang bagai tiada penamatnya.

“Kerjasama ini pasti akan membuahkan hasil yang baik dan mampu mengatasi penguasaan akedemik oleh pelajar-pelajar kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru lebih banyak lagi badan-badan korporat untuk turun padang membantu para pelajar terutamanya semasa pandemik ini.

“Di samping itu juga, saya menyeru agar banyak lagi badan-badan korporat turun padang membantu khususnya ketika pembelajaran terpaksa diadakan secara PDPR.

“Kerajaan Negeri Pahang juga suka memaklumkan selain dari lebih 600 buah Sekolah Kementerian yang ada di Negeri ini, kita juga mempunyai 18 buah Sekolah Agama dan kebanyakan sekolah adalah anak-anak B40 serta berada di kawasan pedalaman.

“Sehubungan itu kita amat mengalu-alukan sekiranya pihak Petronas sangguo sekali lagi membantu kumpulan ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download