Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 13 OGOS 2021 : Situasi semasa pandemik yang masih ‘menggila’ tidak menampakkan tanda-tanda bila akan berakhir.
Justeru, Kerajaan Negeri terus menyalurkan bantuan antaranya bakul makanan kepada penduduk di setiap DUN di negeri ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairudin Mahmud berkata, penduduk di kawasannya turut tidak ketinggalan menerima bantuan inisiatif YAB Menteri Besar Pahang itu.
“Saya telah menyampaikan 2,100 bakul makanan kepada 35 buah cawangan di DUN Pulau Manis melibatkan Zon 1 (10 cawangan), Zon 2 (14 cawangan) dan Zon 3 (11 cawangan).
“Semua bakul makanan ini diagihkan kepada penduduk yang memerlukan terutamanya penduduk kampung yang tidak dapat bekerja atau hilang kerja akibat pandemik,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Menurutnya lagi, aduan yang diterima daripada penduduk juga membantu pihaknya menyalurkan sumbangan yang diperlukan dalam kadar segera.
“Dalam berusaha membantu rakyat secara berterusan, saya ada lihat juga komen negatif di laman sosial berkenaan bantuan yang katanya tidak pernah diterima.
“Selaku wakil rakyat, sudah tentu kita tidak mahu sesiapa pun terabai, jadi berhubunglah dengan ketua komuniti masing-masing atau pun saya sendiri jika memerlukan,” katanya.
Katanya, tiada sebab untuk mereka meminggirkan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan biar pun mungkin berlainan ideologi malah sentiasa bersedia untuk meringankan beban mereka yang memerlukan. – PAHANGMEDIA