KUANTAN, 11 OGOS 2021: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini mengesahkan kelulusan tambahan 104 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi pelaksanaan dan pembinaan bermula September ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tambahan itu ialah di bawah Fasa 3 kepada 102 unit yang telah dilulus di bawah Fasa 2 untuk pelaksanaan dan pembinaan tahun ini juga.

Beliau berkata, ini bermakna sebanyak 206 unit RRP bernilai RM65,000 seunit atau RM13.39 juta, yang akan dilaksana dan dibina pada tahun 2021.
Menurutnya, di bawah RRP, rumah ini dibina untuk diberi secara percuma kepada golongan memerlukan rumah khususnya mereka tersenarai dalam daftar ‘e-kasih’.
“RRP dilancarkan tahun lepas di bawah Fasa 1 atas keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berkenaan dan sebanyak 98 unit bernilai RM6.37 juta telah siap dibina serta diduduki,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, agihan pada tahun tersebut ialah dua unit bagi masing-masing 42 kawasan Dewan Negeri dan satu unit bagi masing-masing 14 kawasan Parlimen di negeri ini.
‘Adalah diharapkan, lebih banyak lagi RRP dapat dibina pada masa depan dengan berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.-PAHANGMEDIA