Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 OGOS 2021 : Bekas Qadhi Besar Negeri Pahang diumum penerima Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2021/1443 Hijrah hari ini.
Allahyarham Tuan Haji Syed Abdul Rahman Syed Mohammad Benyahya yang merupakan anak kelahiran Pekan diwakili dua anaknya menerima wang tunai bernilai RM10,000, plak, kalung, dan sijil.
Anak beliau, Encik Syed Akil Syed Abdul Rahman, 59, melahirkan rasa bersyukur dengan penghargaan yang diterima Allahyarham bapanya.
“Saya mengucap ribuan terima kasih kepada Pemangku Raja Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang dengan penghargaan kepada orang tua saya.
“Rasa gembiralah dengan penghargaan tersebut..dah hampir 30 tahun ayah saya dah meninggal (dunia) pada 1991 dan pada 2021 dapat anugerah ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi.
Turut mencemar duli merasmikan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijalankan secara atas talian dari Istana Abdul Aziz.
Turut berangkat YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Encik Syed Akil yang merupakan anak keenam Allahyarham menyifatkan bapanya sebagai seorang yang tegas dan mementingkan pelajaran agama.
“Dia ini seorang yang tegas dan pendidikan agama kuat. Hari-hari kita dididik dengan agama, solat Maghrib dan Isyak berjemaah, Subuh juga.
“Kalau dia free dia akan bagi kuliah di rumah, kalau tidak dia bagi kuliah agama di masjid. Tapi kalau ada dia free mesti akan buat majlis (kuliah) di rumah,” katanya yang hadir bersama abangnya Syed Mohd, 71.
Bapa kepada 11 orang anak ini dilahirkan pada 8 Ogos 1923 mendapat pendidikan awal di Madrasah Al-Attas di Ketapang, dan Kulliah Sultan Abu Bakar, Pekan sebelum melanjutkan pelajaran ke Singapura dan seterusnya ke Hadhramaut Yaman.
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai guru di Madrasah Al-Qadariah dan Madrasah Al-Junit di Singapura, menjadi guru di Sekolah Arab Kluang, Johor, sebelum menjadi Al-Fadhil Qadhi Daerah Raub pada 1961.
Beliau kemudiannya bertugas sebagai Al-Fadhil Qadhi Daerah Kuantan pada 1971 sebelum menjadi Qadhi Besar Pahang pada 1976 sehingga 1982 dan kemudiannya bersara.
Beliau yang meninggal dunia pada 1991 pernah menghasilkan lima hasil penulisan yang dibukukan iaitu Qiraah Mufidah, Risalah Iktikad, Peraturan Tahlil Dan Doa di Makam DiRaja Pekan, Risalah Puasa Bulan Ramadan, dan Kitab Ilmu Faraidh.
Allahyarham juga semasa hayatnya pernah dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai guru agama di dalam kapal haji kepada bakal haji ke Mekah pada 1970, dikurniakan pingat Ahli Mahkota Pahang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, serta menjadi hakim tilawah Al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan bariasan exco Kerajaan Negeri.
Selain itu, majlis turut mengurniakan anugerah kepada lima lagi penerima anugerah yang terdiri daripada individu dan jabatan.
Bagi Anugerah Pengkhidmat Agama diterima oleh Encik Zakaria Ishak, dan bagi Anugerah Inovasi Kakitangan (Kerajaan/Swasta/NGO/IPTA/IPTS) pula diberikan kepada Encik Zainal Idris.
Manakala bagi Anugerah Inovasi Jabatan (Kerajaan/Swasta/NGO/IPTA/IPTS) diberikan kepada Jabatan Kerja Raya Daerah Kuantan, dan Anugerah Mubaligh Saudara Baru disampaikan kepada Allahyarham Encik Haji Abd Latif Haji Yusuf.
Kesemua mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, plak, dan sijil penghargaan.
Bagi Anugerah Perkampungan Orang Asli Terbaik Negeri Pahang disampaikan kepada Kampung Orang Asli Sop, Pos Lenjang, Lipis yang menerima wang tunai RM15,000, plak, dan sijil penghargaan. -PAHANGMEDIA