Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 10 OGOS 2021 : Program Latihan Reskilling Digital untuk Industri Pelancongan anjuran Tourism Pahang bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) – ILSAS dapat mempercepatkan pemulihan perniagaan masing-masing di dalam sektor berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, kerajaan negeri juga telah melakukan pelbagai usaha dan mengambil inisiatif sebaik mungkin untuk membantu penggiat industri pelancongan ini sepanjang tempoh ‘survival’ ketika semua aktiviti pelancongan dihentikan kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, beliau berkata, program latihan seumpama ini akan dapat membantu syarikat-syarikat yang terlibat dengan sektor pelancongan bagi meningkatkan promosi produk pelancongan mereka dengan lebih kos efektif menerusi pemerkasaan pekerja dengan kemahiran berkaitan terutama ketika menghadapi fasa seterusnya iaitu ‘fasa recovery’.
“Saya sangat mengalu-alukan usaha yang dianjurkan oleh TNB-ILSAS ini dengan menganjurkan Program Latihan Reskilling Digital yang menyediakan ‘content’ yang dapat digunakan di dalam industri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Latihan Reskilling Digital yang diadakan secara maya di pejabat Tourism Pahang, di Kuantan.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, YBhg Encik Kamaruddin Ibrahim, Ketua (Strategik Digital dan Inovasi) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Integrated Learning Solution Sdn Bhd – ILSAS, Yang Berusaha Profesor Madya Dr Zaliman Mohd Yusoff dan Pengarah Glocal Tech Solution Sdn Bhd, Encik Munir Kasman Abdul Hamid.
Program Latihan Reskilling Digital tersebut bertujuan membantu pengusaha perniagaan pelancongan memperkasa kakitangan mereka dengan kemahiran baru dalam penyuntingan video digital menggunakan rakaman drone dan teknologi realiti maya (VR) yang dapat membangunkan bahan promosi untuk pemasaran dalam talian.
Fokus utama TNB-ILSAS adalah pembangunan keupayaan sumber manusia menerusi penyediaan latihan reskilling percuma kepada 100 pekerja daripada syarikat berkaitan pelancongan dengan kos RM500,000 merangkumi penyediaan kos latihan teknikal untuk sektor berkenaan di Pahang.
Terdapat dua latihan dipilih iaitu penyuntingan video menggunakan rakaman drone dan penyuntingan video dengan teknologi realiti maya (VR).
Sepanjang tempoh PKP, kursus selama lima hari ini akan diadakan secara atas talian menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang dibangunkan sendiri oleh TNB-ILSAS. – PAHANGMEDIA