Oleh : Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 10 OGOS 2021 : Seramai 545 orang imam, bilal dan siak di 37 buah masjid serta 100 surau di daerah ini menerima inisiatif pemberian jubah daripada YAB Menteri Besar Pahang.
Bantuan Khas Kewangan pula diberikan kepada sembilan orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Negeri Pahang.
Bilal 1 Masjid Taman Jati , Encik Zalizan Marzuki berkata, bantuan berkenaan menjadi tanda ingatan kepada mereka.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang tidak lupa kepada kami yang bertugas di Masjid dan surau.
“Bantuan ini sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada kami dan amat dihargai,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Bagi Pengerusi Masjid Charuk Puting, Bera, Encik Radzuwan Sulaiman berkata,
Sudah pasti saya gembira kerana tidak dilupakan oleh pihak Kerajaan Negeri malah pemberian ini hadir pada masa yang memerlukan.
“Memang diakui kini adalah masa sukar yang dilalui namun keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang menguatkan semangat untuk rakyat melalui ujian yang dihadapi,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras PePIMA Negeri Pahang merangkap batin Kampung Pasal, Kamisan Wahab turut menzahirkan rasa syukur di atas pemberian berkenaan yang diterima secara ‘drive-thru’.
“Bantuan tetap dihulurkan dengan cara yang sangat bagus di mana semua penerima tidak perlu berkumpul dan hanya pandu lalu sahaja.
“Bantuan Khas Kewangan yang yang dihulurkan sememangnya meringankan beban yang ditanggung sepanjang pandemik melanda sejak tahun lalu,” katanya. – PAHANGMEDIA