Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 OGOS 2021 : Institusi Di Raja tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak kerana institusi mengatasi garis politik, yang kekal bertindak tidak berpihak atau non-partisan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Raja Pemerintah telah diberi tanggungjawab di dalam perlembagaan bagi memberikan naungan yang saksama kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
“Institusi Raja boleh bertindak sebagai penimbang tara sekiranya timbul pertelingkahan politik kepartian yang boleh mengugat kestabilan negara.
“Dalam erti kata lain, ahli politik juga tidaklah boleh berselindung atau menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik mana-mana pihak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021 yang dijalankan secara maya di Wisma Sri Pahang hari ini.
Persidangan ini turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Datuk Azhar Azizan Harun; dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad. – PAHANGMEDIA