Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 OGOS 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021.
Persidangan yang dijalankan secara maya ini diadakan di Wisma Sri Pahang dengan dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad.
Baginda bertitah, persidangan ini menjadi platform kepada semua Yang Di-Pertua untuk berkongsi ilmu selain sebagai medium proses semak dan imbang bagi pengurusan pentadbiran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Apa jua kaedahnya, matlamat dan hasil pada penghujung persidangan, yang menentukan berjayanya persidangan ini, dalam memberi impak kepada bentuk pengurusan pentadbiran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya kekal relevan dalam pembangunan negara.
“Saya amat bersetuju penganjuran persidangan ini, dilaksanakan dengan tujuan yang khusus dan murni, yang bertindak sebagai platform perkongsian ilmu di antara semua yang Di-Pertua, selain menjadi medium untuk melaksanakan proses semak dan imbang, dalam pengurusan pentadbiran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Dalam masa yang sama, persidangan ini dilaksanakan bagi memperkasakan peranan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam mengukuhkan amalan demokrasi negara,” titah baginda.
Baginda bertitah, persidangan ini juga dapat memperkasakan peranan Yang Di-Pertua dan memelihara amalan Raja berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Peranan Yang Di-Pertua bagi mempengerusikan sebuah persidangan memerlukan pengalaman, pengetahuan, serta integriti yang tinggi, bagi menjamin perjalanan persidangan berjalan dengan telus, adil dan saksama.
“Suka saya menasihatkan kepada semua Yang Di-Pertua, jalankan amanah dan tugas sebagai Yang Di-Pertua ini dengan sebaik dan seadil mungkin, tanpa sikap berat sebelah.
“Yang Di-Pertua mempunyai peranan penting bagi memastikan perdebatan badan legislatif berjalan dengan tertib, sopan dan teratur, seperti ‘standing orders’ yang telah ditetapkan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Parlimen Malaysia yang memilih Negeri Pahang sebagai tuan rumah persidangan kali ini. – PAHANGMEDIA