Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda (tiga dari kanan) ketika melakukan lawatan kerja ke pembukaan semula Pasar Tani UTC, Kuantan.

PAHANG PERLU CAPAI FASA KETIGA PPN UNTUK BENARKAN PASAR TANI BEROPERASI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 9 OGOS 2021 : Negeri Pahang perlu beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membolehkan pasar tani dibenarkan beroperasi semula di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, sehingga kini hanya tiga negeri sahaja di seluruh Malaysia yang telah beralih ke fasa ketiga PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan.

Katanya, pasar tani telah ditutup hampir tiga bulan bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat dihentikan dan keadaan ini menghalang para peniaga untuk menjalankan perniagaan seperti biasa bagi memperoleh pendapatan masing-masing.

“Pengoperasian pasar tani di Pahang masih tidak dibenarkan, kalau ikut daripada PPN, apabila kita beralih ke fasa 3, pengoperasian ini akan dibenarkan tetapi Pahang masih jauh lagi daripada sasaran sebab kita memerlukan 40 peratus vaksin kedua, cuma beberapa negeri sahaja yang telah dibenarkan beralih ke fasa 3 iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke pembukaan semula Pasar Tani UTC, Kuantan, semalam.

Hadir sama ialah Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin, Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA Malaysia, Encik Abdul Rashid Bahri dan Pengarah Fama Negeri Pahang, Encik Noh Nik Wan.

YB. Dato’ Abd Rahim berkata, hanya 25 peratus peniaga makanan sahaja dibenarkan berniaga di Pasar Tani UTC selepas memastikan kesemua mereka telah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Kita pun bimbang di Kuantan ini kes jangkitan COVID-19 ada tinggi sejak kebelakangan ini, jadi dengan adanya kempen daripada Fama dan MBK telah menetapkan mereka yang mendaftar untuk vaksin sahaja dibenarkan meniaga,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai dan peniaga supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap kali berurusan dalam perniagaan bagi memastikan tiada kenaikan jangkitan COVID-19 kerana bimbang pengoperasian akan ditamatkan semula.

Mereka yang bergejala diharap tidak mengunjungi pasar tani UTC bagi mengelakkan jangkitan selain memakai pelitup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan fizikal bukan sahaja di kalangan pelanggan tetapi juga gerai-gerai peniaga.

Kerajaan negeri bersedia menyokong dan menyalurkan pelbagai keperluan sekiranya diperlukan oleh pihak Fama dan MBK.

Pasar Tani UTC merupakan satu-satunya pasar yang dibenarkan beroperasi di Pahang dengan kawalan ketat daripada pihak berkuasa bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan makanan selain membuka peluang rezeki kepada para peniaga yang turut terjejas sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download