Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 OGOS 2021 : Seramai 100 penerima menerima bantuan kit makanan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung semasa pandemik COVID-19 di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, program ini adalah sempena Bulan Kemerdekaan Negara.
“Program ini iaitu Program Sejabir Merdeka Prihatin dijalankan anjuran anak-anak muda negeri Pahang iaitu daripada Majlis Belia Negeri Pahang (MBPN), Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pahang (YARMP), Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) dan Sukarelawan Tunas Warisan (STW).
“Kita mengharapkan bantuan ini dapat memberi bantuan bekalan makanan kepada masyarakat Kuantan semasa pandemik ini, selain itu, kita juga ingin mewujudkan jaringan yang baik dengan masyarakat daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada penyerahan Program Sejabir Merdeka Prihatin secara pandu lalu di Petronas Sungai Soi di sini.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pahang (YARMP), Encik Wan Emril Nizam Wan Embong dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBPN), Encik Mohd Izzat Afifi Haji Abd Hamid.
Menurut beliau lagi, bantuan ini akan dijalankan selama lima hari dengan pembahagian sebanyak 20 penerima sehari.
“Setiap penerima akan mendapat bantuan barangan keperluan asas iaitu barang kering dengan senarai penerima kita terima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA