Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
JENGKA, 07 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang sumbang 172 kit makanan keperluan asas bernilai RM8,600 kepada generasi kedua FELDA di kawasan Dewan Negeri (DN) Kerdau.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan ini pertama kali diberikan kepada generasi kedua FELDA.
“Kita beri bantuan ini kepada generasi kedua FELDA kerana mereka ini dilihat seperti dilupakan sedangkan mereka juga merupakan penduduk di kawasan FELDA dan turut kehilangan sumber pendapatan dalam keadaan sekarang.
“Dan bantuan-bantuan yang diberikan sebelum ini tertumpu kepada golongan peneroka FELDA sahaja dan generasi kedua FELDA ini tidak pernah dapat bantuan seumpama ini.
“Jadi kita mengambil inisiatif dengan berbincang bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengurusan FELDA untuk memberi bantuan kepada generasi kedua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di penyerahan kit makanan secara pandu lalu kepada 122 generasi kedua Felda Jengka 22 hari ini.
Menurut beliau lagi, sumbangan ini diharapkan dapat mengurangkan beban generasi kedua Felda yang turut terjejas dengan pandemik COVID-19 ini.
Kesemua 172 penerima kit makanan daripada generasi kedua Felda ini merupakan mereka yang tinggal di Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, dan Felda Jengka 25. -PAHANGMEDIA