Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUALA KRAU, 07 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM27,000 kepada pesakit kronik di Dewan Negeri (DN) Kerdau hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan ini diberikan secara one-off kepada mereka yang memerlukan.
“Kita bagi bantuan kepada 27 penerima bantuan setakat ini di dalam DN Kerdau di mana setiap orang kita beri bantuan sebanyak RM1,000 seorang.
“Daripada jumlah ini, kita juga turut beri bantuan kepada seorang mangsa ribut yang rumahnya rosak di bawah bantuan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika ditemui di FELDA Jengka 22 di sini hari ini.
Beliau turut menyampaikan bantuan kepada Puan Lasmi Sadikan, 72, yang menghidap masalah jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
Puan Lasmi yang merupakan peneroka FELDA Jengka 22 melahirkan perasaan terharu menerima kunjungan daripada YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim hari ini.
Sehubungan itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, bantuan ini meliputi pesakit kronik daripada 10 buah kampung termasuklah FELDA di DN Kerdau.
“Kita beri bantuan ini kepada dua pesakit kronik dari Kampung Lipat Kajang, Kampung Ketumbit (1), Pekan sari Lama (1), Bandar Kerdau (1), Kampung Pulau Pasir Mandi (1), Desa Baru Purun (1), dan Rumpun Makmur (6).
“Selain itu, kita beri kepada seorang pesakit dari Taman Seri Desa, FELDA Jenderak Utara (1), Temerloh Jaya (1), dan 10 pesakit daripada kawasan Felda,” katanya. -PAHANGMEDIA