Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 07 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menyumbang 3,300 bungkusan makanan kepada golongan muda yang terjejas di negeri ini dalam Bantuan Fasa 3 Anak Muda.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, bantuan ini akan diagihkan kepada 11 daerah di negeri ini.
“Kita akan edarkan 3,300 bungkusan makanan ini kepada anak-anak muda yang betul-betul terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 ini. Kita mengharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban golongan muda yang terjejas ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, bungkusan sumbangan ini akan diagihkan kepada Majlis Belia Daerah (MBD) oleh Majlis Belia Negeri Pahang (MBPN) bagi melancarkan urusan pengagihan.
“Kita juga meminta Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri (ADN) turut membantu kita mengagihkan sumbangan ini. Dari segi penerima,MBNP melalui MBD telah melihat siapa penerima yang layak dan betul-betul terkesan untuk menerima sumbangan ini,” katanya.
Beliau berkata, bantuan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan jumlah penerima ditambah kepada 6,600 orang.
Pengagihan bungkusan makanan ini dijalankan di Pasaraya Darul Makmur (PDM) Edar Batu Enam hari ini yang turut dihadiri oleh Presiden MBNP, Encik Mohd Izzat Afifi Haji Abd Hamid.
Bungkusan makanan ini mengandungi bekalan makanan asas iaitu minyak masak, gula, tepung, bihun, biskut, susu tin, sardin, teh, kopi, dan garam. -PAHANGMEDIA