Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika melawat tapak untuk dibina Rumah Rakyat Pahang (RRP) di di FELDA Kota Gelanggi 2, Jerantut.

PEMBINAAN RUMAH UNTUK LAPAN BERADIK DILAKSANAKAN TIDAK LAMA LAGI

Oleh: Fansurina Abdullah

JERANTUT, 7 OGOS 2021: Kerja-kerja pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 diberikan secara percuma kepada lapan beradik yang kehilangan ibu bapa mereka akibat COVID-19 akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, rumah berkenaan akan dibina di FELDA Kota Gelanggi 2 iaitu kampung Allahyarhamah ibu mereka, Noraini Ibrahim.

“Saya berharap rumah ini dapat disiapkan segera supaya lapan beradik itu dapat segera berpindah ke sini, namun sementara itu, pihak kerajaan turut membiayai kos sewa rumah buat mereka,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.

Katanya lagi, beliau juga telah melawat tapak rumah yang dicadangkan bagi membina rumah berkenaan baru-baru ini bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.

Sementara itu, beliau sangat menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang begitu cakna dan prihatin kerana telah meluluskan segera pemberian RRP kepada lapan beradik tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Pulau Tawar berharap dengan pertolongan daripada kerajaan negeri ini akan dapat memberikan sinar baharu buat mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup.
 
Pada ketika ini kelapan beradik itu masih lagi berada di Rawang, Selangor bersama ibu saudara mereka di sana dan dijangka dibawa pulang ke Felda Kota Gelanggi pada penghujung bulan ini oleh datuk mereka, Encik Ibrahim Ali. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download