Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
RAUB, 06 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang akan menyiapkan 40 peratus asas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut dalam tempoh dua bulan sebelum musim tengkujuh tiba.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya mensasarkan asas loji baharu itu akan dapat disiapkan pada Oktober ini.
“Tadi saya diberi taklimat peringkat awal lebih kurang 40 peratus foundation dia itu (loji rawatan air baharu) perlu disiapkan sebelum musim tengkujuh.
“Saya jangka boleh siaplah bulan Oktober. Ini bulan Ogos, September dalam masa dua bulan mungkinlah dapat disiapkan, lepas tu dia boleh teruskan (pembinaan loji) itu dulu. Kita akan siapkan asas tu dulu,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di Rumah Tamu Majlis Daerah Raub, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin; ADN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.
Beliau berkata terdapat sedikit kelewatan dalam pembinaan loji rawatan air Sungai Bilut setakat ini sebanyak tiga peratus disebabkan oleh wabak COVID-19.
“Tetapi saya telah difahamkan oleh pihak kontraktor tadi mereka akan pertingkatkan lagi (kerja pembinaan) dan dijangka siap bulan empat (April) tahun depan,” katanya.
Menurut beliau lagi, kadar nilai bacaan kekeruhan (NTU) di Sungai Bilut adalah tinggi iaitu sebanyak 11,000 dan ini menjejaskan bekalan air masyarakat di kawasan ini.
“Kadar NTU memang tinggi iaitu 11,000 dan ini menjejaskan bekalan air kepada masyarakat setempat dan sebab itulah kita berusaha mendapatkan peruntukan dan telah mengeluarkan tender dan kini kerja-kerja telah dibuat.
“InsyaAllah saya yakinlah bulan April nanti kalau tidak ada apa-apa halangan yang besar, projek ini dapat disiapkan dan ini memberikan satu kemudahan kepada masyarakat setempat khususnya di daerah Raub,” katanya.
Kerajaan Pahang pada Februari telah meluluskan sebanyak RM18 juta bagi pembinaan tangki mendapan melibatkan tiga loji rawatan air di Sungai Bilut, Sungai Semantan, dan Sungai Klau bagi menangani isu kekeruhan yang berlaku.
Nilai kontrak bagi LRA Sungai Bilut adalah sebanyak RM7.64 juta, manakala LRA Sungai Semantan berjumlah RM5.22 juta dan nilai kontrak bagi projek LRA Sungai Klau pula berjumlah RM3.41 juta.
Sebanyak 8,504 akaun pengguna terlibat bagi Loji Rawatan Air di Sungai Bilut, Loji Rawatan Air Sungai Semantan pula 7,362 akaun dan Loji Rawatan Air Sungai Klau melibatkan 4,104 akaun. -PAHANGMEDIA