Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamarluddin bin Ibrahim meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Cameron Highland hari ini.

PAHANG SEDIA BUKA SEKTOR PELANCONGAN SETELAH PENUHI KRITERIA MKN

Oleh: Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 5 OGOS 2021: Pahang bersedia membuka beberapa destinasi popular pelancongan di negeri ini secara berperingkat setelah memenuhi kriteria yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim berkata, Negeri Pahang sebenarnya mempunyai destinasi pelancongan yang banyak dan pihaknya bercadang untuk membuka semula pusat pelancongan dengan berkonsepkan gelembung pelancongan secara bersasar serta domestik.

“Bagaimanapun perkara ini perlu mendapat kebenaran daripada pihak MKN termasuk memastikan sesebuah kawasan pelancongan itu mestilah 70 peratus penduduk telah mendapatkan suntikan vaksin lengkap dua dos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas selesai melihat proses pemberian vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Cameron Highlands hari ini.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga sedang giat berusaha memberikan vaksinasi kepada pemain industri pelancongan dan seperti di Cameron Highlands sendiri kira-kira 70 peratus penduduk telah lengkap suntikan vaksin.

“Ini kerana kriteria untuk membuka sesuatu kawasan pelancongan mestilah 70 peratus penduduk di kawasan tersebut telah mendapatkan suntikan vaksin lengkap.

“Kriteria ini juga terpakai di luar negara terutamanya dalam menjadi kayu ukur kepada pembukaan satu-satu kawasan pelancongan dan jika kriteria ini terpakai di negara kita, beberapa lokasi pelancongan di Pahang telah mencapai kriteria tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri dibantu dengan pelbagai agensi sedang menyediakan SOP bagi membuka semula lokasi pelancongan ini, bagaimanapun ia masih perlu dibentangkan kepada MKN sebelum dibenarkan dibuka semula.

“Mengenai SOP yang perlu dipatuhi sekiranya lokasi pelancongan dibuka semula, antara syarat yang ditetapkan ialah pelancong mestilah lengkap menerima dua dos vaksin,” jelasnya.

Beliau berkata, buat masa ini, penerimaan pelancong adalah melalui agensi pelancongan yang berdaftar sahaja bagi memastikan penularan wabak COVID-19 tidak berlaku di kawasan pelancongan sedia ada. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download