gambar hiasan

TINDAKAN KOMPAUN KEPADA PREMIS GAGAL KIBAR BENDERA

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 5 OGOS 2021: Tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap premis yang berada di bawah pengawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri ini sekiranya gagal mengibarkan bendera di premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, ianya bersempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini mulai 15 Ogos 2021 hingga 16 September 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda.

“Berdasarkan pemerhatian saya, sehingga kini kurang daripada 20 peratus premis di daerah Kuantan yang mengibarkan bendera seperti yang telah diarahkan namun pemasangan bendera agak suram.

“Saya faham situasi ini berlaku berikutan kebanyakan premis masih lagi ditutup dan tidak dibenarkan membuka perniagaan mereka ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

YB. Dato’ Rahim berkata, pihaknya telah meminta supaya semua PBT meningkatkan pemantauan terhadap pemasangan bendera ini dan mengeluarkan notis terhadap arahan pemasangan bendera terbabit.

Tindakan ini termasuklah mengenakan kompaun terhadap mana-mana premis yang masih enggan mengikuti arahan yang telah dikeluarkan. – PAHANG MEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download