KUANTAN, 4 OGOS 2021: Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyokong penuh kenyataan media oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang semalam atas pendirian UMNO Malaysia tentang kemelut semasa.
Sehubungan itu Pengerusinya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang meminta kepemimpinan serta ahli-ahli parti pelbagai peringkat, agar terus bersama-sama menyokong keputusan ini yang juga selari dengan yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas.

“Sambil itu, fokus kita hendaklah ke arah menangani kemaslahatan rakyat-jelata yang sehingga kini, masih terkesan dengan pelbagai langkah dan kekangan dihadapi akibat wabak pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO petang semalam sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.-PAHANGMEDIA