KUANTAN, 4 OGOS 2021: Kelab Penyokong Kerajaan BN Pahang mahu tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mereka yang biadab terhadap Kebawah Duli Yang Mahal Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusinya, YB Dato’ Haji Sohaimi Mohd Shah berkata, kelab itu menjunjung titah dan menzahirkan taat setia ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu semasa mengenai Ordinan Darurat 2021.
Beliau berkata, adalah jelas bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bertindak atas budi bicara Baginda sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu menurutnya, apa juga ulasan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu termasuk oleh ahli-ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) yang menyanggahi Baginda, adalah tindakan tidak berperlembagaan dan juga biadap.
“Ini termasuklah kenyataan terkini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Zuraidah Kamaruddin beberapa hari lepas.
“Atas kebiadaban ini, tindakan sewajarnya hendaklah diambil agar mereka terbabit turut diberi pengajaran berkesan keperluan untuk sentiasa akur kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara,” katanya menerusi kenyataan Media hari ini.
Sehubungan ini Kelab Penyokong Kerajaan BN Pahang turut menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas kepemimpinan serta kenyataan media yang telah dikeluarkannya sebelum ini berkaitan isu Ordinan Darurat 2021 yang sama.
Menurutnya, sokongan ini tidak lain demi memastikan kepemimpinannya yang cemerlang selama ini, dapat berjalan lancar.
“Apatah pula kepemimpinannya berteraskan keutamaan kepada kebajikan serta usaha menangani kemaslahatan rakyat-jelata teruatamanya dalam tempoh kita, rakyat sekian, masih dibelenggu dengan wabak pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya.-PAHANGMEDIA