Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 1 OGOS 2021: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang sentiasa melakukan pemantauan secara berkala bersama beberapa agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan pemilik ladang ke lokasi berisiko berlaku kebakaran bagi memastikan pembakaran terbuka dapat dicegah pada peringkat awal.
JBPM berkata, rondaan dibuat oleh JBPM bagi memastikan seramai 948 pegawai dan anggota seluruh Pahang sentiasa bersiap sedia dari segi kekuatan pasukan dan kesiapsiagaan logistik untuk menghadapi sebarang kebakaran terbuka.
“Pasukan bomba sentiasa bersedia berhadapan segala kemungkinan meskipun di dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini dengan memastikan semua pegawai dan anggota mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini
Jelasnya, berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, Malaysia kini sedang mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering sehingga pertengahan September dan keadaan ini menyumbang kepada berlakunya kebakaran melibatkan kawasan hutan simpan, kawasan perladangan dan kawasan penerokaan haram.
JBPM berkata, terdapat tiga daerah di Pahang yang sering terlibat dengan kebakaran hutan ini iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.
Justeru orang ramai diingatkan supaya segera menghubungi pihak bomba dan agensi terlibat sekiranya mendapati berlaku kebakaran terbuka dan mengelakkan daripada melakukan pembakaran dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pada Mac lalu, lebih 300 hektar hutan terbakar membabitkan tiga daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan. – PAHANGMEDIA